Selasa, 13 Oktober 2015

SALAM MAAL HIJRAH






 Sempena Sambutan Maal Hijrah ini, mari berhijrah dua perkara dalam diri kita iaitu hijrah rohani dan hijrah jasmani.

          Hijrah rohani ialah seseorang yang menghijrahkan dirinya ke arah agama yang lebih baik seperti mendekatkan diri ke masjid dan majlis-majlis ilmu yang sebelum ini tidak pernah dihadiri. Buangkan penyakit-penyakit hati yang sering menjauhkan diri kepada Allah seperti mempunyai perasaan tamak, hasad dengki, riak, menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki dan sebagainya. Jika seseorang itu dapat mengubah hatinya atau psikologinya kearah yang baik dan memiliki akhlak yang baik, nescaya ia akan mempunyai perasaan cintakan Allah dan Rasulnya. Malah dirinya akan disukai oleh masyarakat sekelilingnya. Orang seperti ini sering disenangi oleh masyarakat kerana ia mempunyai peribadi yang baik. Apabila ia terkena musibah atau ujian Allah, maka dia tabah dan tenang hatinya menghadapi ujian Allah, sedikitpun ia tidak bersungut dan gelisah dengan ujian Allah ke atas dirinya. 


           Hijrah Jasmani ialah seseorang itu melakukan perubahan dirinya ke arah yang lebih baik, sepertimana bersenam, memiliki pakaian yang baik dari segi syarak, ingin memiliki pekerjaan yang baik, ingin memiliki taraf akademik yang baik dan sebagainya.Jasmani perlu sihat kerana ia akan memudahkan kita beribadah kepada Allah dengan lebih sempurna, begitu juga memiliki pekerjaan yang baik supaya kita tidak mencuri disebabkan tekanan hidup. Kalau sebelum ini kita melakukan kerja sambil lewa, ponteng kerja,tidak menepati masa kita hijrahkan dengan melakukan kerja dengan lebih sempurna dan ikhlas. 


           Setiap hijrah perlu dimulakan dengan hijrah rohani dahulu, kerana ia merupakan faktor dalaman untuk mengerakkan faktor luaran. Apabila hati menjadi baik dan sentiasa beribadah kepada Allah, maka dengan sendirinya ia dapat mencegah jasad (jasmani) kita dari perlakuan jahat dan dusta. Tetapi apabila diri kita mempunyai hati yang hitam dan kotor, maka payahlah kita untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Sepertimana firman Allah yang bermaksud :


 “Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mugkar”.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan